Cuaca buruk buat Riyadh Season tergendala, konsert K-Pop antara yang terjejas

Agensi
Januari 16, 2022 19:13 MYT
Salah satu acara yang dibatalkan ialah konsert K-pop membabitkan Stray Kids dan Chungha.
RIYADH: Angin kencang dan hujan lebat di Riyadh pada Jumaat lalu menyebabkan banyak acara dalam jadual Riyadh Season tergendala.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Hiburan Am dan Pengerusi Musim Riyadh, Turki Al-Sheikh memaklumkan keadaan cuaca memaksa banyak acara terpaksa ditangguhkan.
Salah satu acara yang dibatalkan ialah konsert K-pop membabitkan Stray Kids dan Chungha yang sepatutnya bermula pada jam 7:30 malam.
Penganjur meminta peminat mengosongkan arena secepat mungkin, dan menyifatkan keadaan itu di luar kawalan mereka.
"Untuk keselamatan, konsert Stray Kids & Chungha telah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak kerana keadaan cuaca," tulis Riyadh Season di akaun Twitter mereka.
Terdapat laporan tentang kekecohan di lokasi ketika itu apabila peminat berpusu-pusu cuba mendapatkan pengangkutan awam untuk pulang.
Namun media tempatan mengesahkan keadaan berjaya ditenteramkan dengan kehadiran pihak berkuasa.
Setakat ini, penganjur belum memberi kata putus sama ada konsert itu akan ditangguhkan atau dibatalkan sepenuhnya.
Stray Kids tiba di Riyadh pada 12 Januari, disambut ratusan peminat yang menunggu di lapangan terbang.
Majoritinya tidak sabar menyaksikan persembahan secara langsung pertama kumpulan itu di Riyadh.
Aturcara lain dalam kalendar Riyadh Season dijadualkan bersambung semula hari ini selepas keadaan cuaca kembali baik.
#Riyadh Season #hiburan #cuaca buruk #K-pop #hujan lebat #Stary Kids
;