CrowdStrike: Gangguan IT global bukan serangan siber tetapi kecacatan hos Windows

Bernama
Julai 19, 2024 14:06 MYT
George Kurtz berkata, CrowdStrike mengesyorkan agar organisasi berkomunikasi dengan wakil CrowdStrike melalui saluran rasmi. - CrowdStrike.com
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas CrowdStrike Inc, George Kurtz mengesahkan bahawa isu teknologi maklumat (IT) global semasa yang menjejaskan banyak syarikat penerbangan, perniagaan dan organisasi bukanlah insiden keselamatan atau serangan siber.
Beliau melalui LinkedIn berkata, syarikat itu sedang giat bekerja dengan pelanggan yang terjejas oleh kecacatan yang ditemui dalam kemas kini kandungan tunggal untuk hos Windows tetapi hos Mac dan Linux tidak terjejas.
"Ini bukan insiden keselamatan atau serangan siber. Isu ini telah dikenal pasti, diasingkan dan pembetulan telah dijalankan.
"Kami merujuk pelanggan ke portal sokongan bagi mendapatkan perkembangan terkini selain akan terus menyediakan kemas kini yang lengkap serta berterusan di tapak web kami," kata Kurtz.
Beliau juga berkata CrowdStrike mengesyorkan agar organisasi berkomunikasi dengan wakil CrowdStrike melalui saluran rasmi.
"Pasukan kami digerakkan sepenuhnya untuk memastikan keselamatan dan kestabilan pelanggan CrowdStrike," tambahnya.
Terdahulu, gangguan IT global menjejaskan beberapa lapangan terbang antarabangsa termasuk operasi syarikat penerbangan di seluruh dunia dengan sesetengahnya menghadapi penutupan sementara, penangguhan penerbangan serta gangguan kepada kebanyakan sistem daftar masuk dan tempahan syarikat penerbangan.
Selain itu, gangguan itu turut menjejaskan operasi di syarikat rel, syarikat media dan perbankan.
Di tempat lain, bank-bank India, lapangan terbang dan pasaran saham turut dilanda gangguan teknologi maklumat global pada Jumaat.
-- BERNAMA
#george kurtz #Crowdstrike #gangguan IT global #bukan serangan siber #Windows