COVID: Lelaki Malaysia antara tiga kes import baharu bergejala di Singapura

Bernama
Januari 27, 2021 05:04 MYT
Setakat ini, 29 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di Singapura. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 26 tahun adalah antara tiga kes import baharu bergejala yang dilaporkan di Singapura pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.
Dilabelkan sebagai Kes 59676, pemegang permit kerja itu tiba di sini dari negara asalnya, kata kementerian itu dalam data lengkap yang dikeluarkannya malam tadi.
Setakat 12 tengah hari semalam, Singapura merekodkan 25 kes import baharu dengan 22 daripadanya tidak bergejala sementara tiga lagi bergejala.
Lain-lain kes import adalah dari India, Filipina dan Emiriah Arab Bersatu.
Tiada penularan jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,391 kes.
Kementerian itu berkata kesemua 25 kes import sudah dikenakan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.
Tiada kluster baharu dilaporkan menjadi jumlah kluster keseluruhan kekal enam.
Setakat ini, 29 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di sini.
-- BERNAMA
#Singapura #rakyat Malaysia #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #kes positif #kes import #permit kerja #pemegang permit #tidak bergejala #bergejala #jangkitan #Jangkitan tempatan
;