COVID-19: YouTube sekat kandungan berbentuk antivaksin

Astro Awani
September 30, 2021 08:52 MYT
YouTube dan beberapa gergasi teknologi lain sebelum ini dikritik kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya menghentikan penyebaran maklumat kesihatan palsu di laman sesawang mereka.
YOUTUBE akan menyekat semua kandungan bersifat antivaksin COVID-19, termasuk yang melemparkan tuduhan bahawa vaksin menyebabkan kesan kronik kepada penerima, serta maklumat yang tidak benar mengenainya.
Washington Post, memetik salah seorang naib presiden YouTube Matt Halprin melaporkan, syarikat video dalam talian yang dimiliki Alphabet itu juga akan menyekat beberapa aktivis antivaksin terkenal dengan membataskan saluran mereka.
Ini termasuk Robert F Kennedy Jr dan Joseph Mercola, yang telah lama terkenal dalam gerakan anti-vaksin.
Langkah itu dilakukan kerana YouTube dan beberapa gergasi teknologi lain seperti Facebook dan Twitter, dikritik kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya menghentikan penyebaran maklumat kesihatan palsu di laman sesawang mereka.
Walaupun YouTube mengambil langkah tegas menangani isu ini, ia tetap mendapat reaksi balas yang negatif dari beberapa negara.
Mercola, seorang pengusaha perubatan alternatif, dan Kennedy, seorang peguam dan anak kepada Senator Robert F Kennedy, mengatakan sebelum ini, mereka bukan menentang semua jenis vaksin, tetapi percaya maklumat mengenai risiko vaksin tidak didedahkan sepenuhnya.
#COVID-19 #YouTube #sekat kandungan antivaksin #maklumat tidak benar
;