COVID-19: WHO tidak akan syor sebarang vaksin sebelum terbukti selamat

Astro Awani
September 4, 2020 06:53 MYT
Dr Tedros Ghebreyesus meminta pihak yang menentang vaksin untuk melakukan penyelidikan mereka sendiri. - Salvatore Di Nolfi/Keystone via AP
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan agensi itu tidak akan mengesyorkan sebarang vaksin COVID-19 sebelum ia terbukti selamat dan berkesan.
Kenyataan menyusul perkembangan terbaharu di mana Rusia dan China mula menggunakan vaksin sebelum kajian jangka panjang selesai.
Malah, beberapa negara lain turut mencadangkan usul untuk memberi kebenaran mengenainya.
Menurut ketua pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, vaksin telah berjaya digunakan selama beberapa dekad dan terbukti berkesan membasmi campak dan polio.
"WHO tidak akan menyokong vaksin yang tidak berkesan dan selamat. Vaksin telah membantu membasmi campak, kemudian hampir di ambang pembasmian polio.
"Jadi, untuk masa depan, vaksin pada COVID-19, kita memiliki sejumlah besar yang menunjukkan kejayaan. Ia hanya akan digunakan apabila didapati berkesan dan selamat.
“Mengenai gerakan anti-vaksin, mereka dapat membangun naratif untuk memerangi vaksin tetapi rekod-rekod vaksin menceritakan kisahnya sendiri, dan orang tidak boleh keliru dengan gerakan anti-vaksin.
"Tetapi mereka dapat melihat sendiri bagaimana dunia sebenarnya menggunakan vaksin untuk mengurangkan kematian kanak-kanak di bawah lima tahun, menyelamatkan kanak-kanak dan berjaya membasmi penyakit seperti campak,” katanya.
Beliau turut memberi penghargaan kepada vaksin ebola yang baru dibangunkan dengan membantu mengakhiri wabak itu di Congo baru-baru ini.
Dr Ghebreyesus meminta pihak yang menentang vaksin untuk melakukan penyelidikan mereka sendiri.
Jelasnya, pergerakan anti vaksin boleh membangunkan naratif sendiri untuk memerangi vaksin namun rekod prestasi vaksin telah terbukti dan orang ramai tidak sepatutnya keliru dengannya.
Beliau turut berharap vaksin yang berkesan akan muncul untuk memastikan dunia kembali normal.
#China #COVID-19 #Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus #Ebola #kesihatan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Rusia #WHO
;