COVID-19: WHO saran pelitup muka bagi penerbangan jarak jauh
Astro Awani
Januari 10, 2023 05:30 MYT
Januari 10, 2023 05:30 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya penumpang pesawat penerbangan jarak jauh memakai pelitup muka.
Langkah itu bagi mengekang penularan subvarian virus Omicron yang kini menular dengan pantas di Amerika Syarikat (AS).
Pegawai Kanan Kecemasan WHO Eropah, Catherine Smallwood menambah, syarikat penerbangan wajar menyarankan pemakaian pelitup muka bagi penumpang dari lokasi penularan COVID-19 pada kadar tinggi.
Di Eropah, subvarian XBB1.5 dikesan semakin menular dan meningkat.
Sehingga kini, Omicron direkodkan sebagai subvarian paling mudah menular.
Ia menyumbang 27.6 peratus kes di AS untuk tempoh minggu berakhir 7 Januari lalu.
Bagaimanapun tidak didedahkan sama ada subvarian XBB1.5 boleh mencetus gelombang jangkitan baharu di seluruh dunia.
Ketika ini, vaksin sedia ada masih berfungsi melindungi pesakit daripada simptom kritikal, kemasukan ke hospital dan kematian.
Kebimbangan mengenai subvarian Omicron kembali meningkat susulan penularan kes di AS.
Ini juga disumbang tindakan China menarik semula polisi sifar COVID bulan lalu.