COVID-19: WHO nafi dakwaan lewat umum darurat kesihatan

Astro Awani
April 23, 2020 08:18 MYT
Tedros berkata pengisytiharan darurat kesihatan sedunia dan kemudiannya pandemik itu dibuat tepat pada masanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempertahankan tindakan yang diambil dalam menangani isu penularan koronavirus baharu SARS-CoV-2 dan menafikan ia lewat mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai darurat kesihatan global.
Ketua pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pengisytiharan darurat kesihatan sedunia dan kemudiannya pandemik itu dibuat tepat pada masanya.
“Apabila melihat semula, saya rasa kami telah isytiharkan darurat kesihatan sedunia tepat pada masanya dan dunia mempunyai masa mencukupi untuk bertindak," kata Tedros kepada media pada Rabu.
Menurutnya, pengisytiharan darurat kesihatan itu dibuat ketika jangkitan di luar China masih kurang daripada 100 kes.
Ketika itu juga tiada kes kematian direkod di luar China, tambahnya.
“Kami isytiharkan tahap darurat paling tinggi ketika luar China hanya mencatatkan 82 kes dan tanpa kematian,” kata Tedros.
BACA: WHO isytihar koronavirus darurat kesihatan global
Tedros berkata jawatankuasa pakar membuat keputusan itu pada 30 Januari selepas gagal mencapai kata putus seminggu sebelumnya.
Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dikritik kerana didakwa lewat mengisytiharkan SARS-CoV-2 sebagai darurat kesihatan sedunia sehingga virus itu kini telah menjangkiti jutaan manusia di seluruh dunia.
#COVID-19 #darurat kesihatan global #darurat kesihatan sedunia #koronavirus #Tedros Adhanom Ghebreyesus #WHO
;