COVID-19: WHO kaji dua sub-varian baharu Omicron
Astro Awani
April 11, 2022 07:31 MYT
April 11, 2022 07:31 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengesan puluhan kes dua sub-varian baharu Omicron COVID-19 yang sangat mudah merebak.
Agensi kesihatan PBB itu berkata pada Isnin, ia sedang membuat penilaian sama ada dua sub-varian baharu Omicron itu lebih menular atau berbahaya.
Kata WHO, Omicron telah menambah varian BA.4 dan BA.5 iaitu varian saudara bagi varian BA.1 yang merupakan varian asal.
Pemantauan sedang dibuat bagi kedua-dua varian tersebut setelah varian BA.1 dan BA.2 mendominasi peringkat global.
Jelas WHO, kajian perlu dilakukan untuk memahami kesannya terhadap potensi risiko untuk terlepas daripada imunisasi.
Virus bermutasi sepanjang masa namun hanya beberapa yang akan memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk merebak, mengelak imuniti terdahulu hasil vaksinasi atau jangkitan, atau keterukan penyakit.
Sebagai contoh, BA.2 kini mewakili hampir 94% daripada semua kes yang dijujukan dan lebih mudah berjangkit daripada adik-beradiknya.
Tetapi, bukti setakat ini menunjukkan, ia tidak lebih berkemungkinan menyebabkan gejala yang teruk.
Hanya beberapa puluh kes BA.4 dan BA.5 dilaporkan kepada pangkalan data GISAID global, menurut WHO.
Agensi keselamatan kesihatan United Kingdom (UK) itu berkata minggu lepas, BA.4 ditemui di Afrika Selatan, Denmark, Botswana, Scotland dan England dari 10 Jan hingga 30 Mac.
Setakat minggu lepas, kesemua kes BA.5 itu berada di Afrika Selatan, tetapi pada Isnin, Kementerian Kesihatan Botswana berkata, ia telah mengenal pasti empat kes BA.4 dan BA.5.
Semua kes tersebut adalah dalam kalangan individu berumur 30 hingga 50 tahun yang telah diberi vaksin sepenuhnya dan mengalami gejala ringan.