COVID-19: WHO harap koronavirus bukan lagi kecemasan kesihatan tahun hadapan
Astro Awani
Disember 15, 2022 09:30 MYT
Disember 15, 2022 09:30 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap pandemik COVID-19 tidak lagi dianggap sebagai kecemasan kesihatan global tahun hadapan.
Harapan itu dizahirkan ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu taklimat kepada media.
Agensi itu bermesyuarat beberapa bulan sekali untuk memutuskan sama ada COVID-19 masih dianggap "kecemasan kesihatan awam global" (PHEIC).
Istilah ini bertujuan mencetuskan tindak balas antarabangsa yang diselaraskan.
Ia juga boleh membuka kunci pembiayaan bagi kerjasama serta perkongsian vaksin dan rawatan.
Ditanya mengenai syarat yang diperlukan untuk menamatkan PHEIC, Pakar Epidemiologi Kanan WHO, Maria van Kerkhove berkata, masih banyak usaha perlu dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan pula berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan jika sebilangan besar penduduk masih belum mendapatkan vaksinasi.
Koronavirus baharu yang muncul tiga tahun lalu di Wuhan, China telah membunuh lebih 6.6 juta orang di seluruh dunia.