COVID-19: WHO harap ketidaksamarataan vaksin dapat diselesaikan
Astro Awani
September 15, 2021 08:07 MYT
September 15, 2021 08:07 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan sekutunya berharap mereka dapat memberi Afrika 30 peratus vaksin COVID-19 yang diperlukan oleh benua itu pada Februari tahun depan.
Ini jauh tersasar daripada sasaran liputan vaksinasi 60 peratus yang pernah diharapkan oleh para pemimpin Afrika tahun ini.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan, perbezaan ketara antara negara-negara kaya dan miskin sebagai masalah yang dapat diselesaikan.
"Sasaran global WHO adalah untuk menyokong setiap negara, untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk negara pada akhir tahun ini dan 70 peratus penduduk dunia pada pertengahan tahun depan.
"Setakat ini, hanya dua negara di Afrika yang mencapai 40 peratus sasaran, yang paling rendah di mana-mana wilayah.
"Seperti yang saya katakan minggu lalu, itu bukan kerana negara-negara Afrika tidak memiliki kemampuan atau pengalaman untuk melancarkan vaksin, itu kerana mereka telah ditinggalkan oleh seluruh dunia," katanya.
Beliau menggesa syarikat farmaseutikal untuk mengutamakan inisiatif disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenali sebagai COVAX untuk berkongsi vaksin di seluruh dunia.
Bagaimanapun syarikat pengeluar vaksin, termasuk Pfizer-BioNTech dan Moderna tidak menunjukkan indikasi bahawa mereka akan menukar strategi memberikan vaksin kepada negara membangun, malah memujuk negara-negara kaya untuk menggunakan suntikan penggalak atau 'booster shot'.
Dr Tedros meminta moratorium mengenai penggunaan dos ketiga kepada populasi umum sehingga hujung tahun ini.
Setakat ini, kurang daripada 4 peratus rakyat Afrika telah divaksin sepenuhnya dan sebahagian besar daripada 5.7 bilion dos vaksin yang diberikan di seluruh dunia hanya kepada 10 negara kaya.
COVAX telah gagal memenuhi hampir kesemua sasarannya dan kini terpaksa meminta negara-negara kaya untuk berkongsi dos vaksin mereka.