COVID-19: WHO gesa Indonesia henti rawatan guna ubat malaria

Astro Awani
Mei 28, 2020 02:14 MYT
Seorang ahli farmasi menunjukkan ubat hydroxychloroquine, yang diambil Presiden AS Donald Trump dan digunakan dalam rawatan COVID-19, di sebuah farmasi di Provo, Utah, AS, 27 Mei, 2020. REUTERS
INDONESIA digesa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghentikan penggunaan ubat malaria sebagai rawatan COVID-19 kerana bimbang dengan keselamatan ubat tersebut.
Lapor Reuters, Indonesia yang merupakan antara negara paling giat menyokong penggunaan ubat malaria, telah menerima surat notis daripada WHO berhubung dua ubat malaria, chloroquine dan hydroxchloroquine bagi merawat koronavirus.
Namun, kata seorang sumber yang tidak ingin dinamakan, notis tersebut masih belum dimaklumkan kepada umum dan sebaliknya hanya telah disebarkan kepada petugas kesihatan.
Erlina Burhan, seorang doktor yang bantu menyediakan garis panduan rawatan COVID-19 sebagai ahli Persatuan Pakar Pulmonologi Indonesia, mengesahkan bahawa persatuan itu turut menerima nasihat baharu daripada WHO berhubung pemberhentian ubat tersebut.
“Kami telah membincangkan isu-isu berkenaan dan masih ada lagi pertikaian. Kami masih tidak capai kata sepakat,” kata Erlina kepada Reuters.
Indonesia telah meningkatkan pengeluaran ubat berkenaan sejak Mac termasuk memberi lebih 20 lesen kepada pengeluar tempatan.
BACA: Hydroxychloroquine tidak mampu sekat jangkitan COVID19
BACA: COVID-19: Malaysia masih guna ubat 'hydroxychloroquine' untuk rawat pesakit
BACA: COVID-19: Bimbang risiko, WHO gantung penggunaan hydroxychloroquine
Minggu lalu, laporan komprehensif oleh jurnal perubatan Lancet mendapati pesakit koronavirus yang dirawat menggunakan ubat-ubat malaria itu lebih berisiko untuk mengalami kesan pada denyutan jantung serta risiko kematian lebih tinggi.
Pada Isnin, WHO umum akan menggantungkan penggunaan hydroxychloroquine bagi pesakit COVID-19 dalam ujian klinikal global.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis menegaskan bahawa Malaysia masih lagi menggunakan ubat tersebut bagi merawat pesakit COVID-19, namun secara berhati-hati.
#chloroquine #COVID-19 #Hydroxychloroquine #Indonesia #Kementerian Kesihatan #keselamatan #kesihatan #KKM #koronavirus #malaria #Malaysia #perubatan #ubat malaria #WHO