COVID-19: WHO gantung bekalan vaksin Covaxin

Astro Awani
April 3, 2022 08:15 MYT
WHO meminta negara-negara yang telah menerima vaksin untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung penggantungan itu. - Foto fail/REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung bekalan vaksin COVID-19 Covaxin yang dihasilkan oleh Bharat Biotech, India.
Ini bagi membolehkan pengilang menaik taraf kemudahan dan menangani kekurangan yang ditemui dalam pemeriksaan.
WHO meminta negara-negara yang telah menerima vaksin untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung penggantungan itu.
Bagaimana pun, WHO berkata, vaksin itu berkesan dan tiada kebimbangan keselamatan yang wujud, namun penggantungan pengeluaran untuk eksport akan mengakibatkan gangguan bekalan Covaxin.
Kata agensi kesihatan PBB itu, penggantungan adalah sebagai tindak balas kepada hasil pemeriksaan penyenaraian penggunaan kecemasan (EUL) WHO yang dijalankan dari 14 Mac hingga 22 Mac dan pembuat vaksin telah menyatakan komitmen untuk menggantung pengeluaran Covaxin untuk eksport.
Pada Jumaat, pengeluar vaksin itu berkata ia memperlahankan pengeluaran Covaxin, kerana permintaan menurun bersama dengan penurunan jangkitan dan liputan imunisasi yang lebih luas di negara-negara.
WHO berkata bahawa syarikat itu telah "komited untuk mematuhi dengan menangani kekurangan dan sedang membangunkan pelan tindakan pembetulan dan pencegahan, untuk diserahkan kepada Ketua Pengawal Ubat-Ubatan India (DCGI) dan WHO".
#COVID-19 #vaksin #Covaxin #WHO
;