COVID-19: WHO desak negara kaya sumbang untuk ACT-A

Astro Awani
Februari 10, 2022 08:03 MYT
Menurut WHO, pelan ACT-A disasarkan untuk aspek pembangunan, penghasilan, perolehan dan pengedaran peralatan bagi memerangi COVID-19. - Gambar fail
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak negara-negara kaya memberi sumbangan mengikut kemampuan bagi menjayakan Pelan Akses COVID, atau dikenali sebagai ACT-A.
Pelan ACT-A memerlukan sumbangan sejumlah AS$16 bilion dari negara-negara berkenaan.
Menurut Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, pelan ACT-A disasarkan untuk aspek pembangunan, penghasilan, perolehan dan pengedaran peralatan bagi memerangi COVID-19.
Ini termasuk vaksin, kit ujian, rawatan dan peralatan perlindungan diri (PPE).
ACT-A juga membuka ruang kepada fasiliti COVAX, yang direka bagi memastikan pemerolehan dan pengedaran vaksin yang sama rata.
Pelan ini memerlukan sejumlah AS$23.4 bilion bagi tempoh Okt 2021 hingga Sept 2022, namun setakat ini, hanya AS$800 juta berjaya dikumpulkan.
Dr Tedros dalam pada itu menegaskan, dengan penularan varian Omicron yang lebih pantas, keperluan kit ujian, rawatan dan vaksin menjadi semakin mendesak.
Di negara miskin, hanya 0.4 peratus daripada 4.7 bilion kit ujian digunakan.
Kadar vaksinasi dalam kalangan negara miskin juga hanya sekitar 10 peratus, dengan populasi hanya menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
#WHO #ACT-A #sumbangan negara kaya #Pelan Akses COVID
;