GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan agar ujian COVID-19 dijalankan di sekolah untuk mengelak 'kesan bahaya' akibat penutupan sekolah dan pembelajaran secara dalam talian.

Pengarah WHO wilayah Eropah, Hans Kluge berkata musim panas ketika ini peluang terbaik kepada kerajaan untuk mengambil langkah mengurangkan jumlah kes harian jangkitan COVID-19, sekali gus mengelak sekolah ditutup lebih lama.

Beliau berkata, pelbagai pihak boleh menilai semula kesan akibat penutupan sekolah kepada pendidikan, kesejahteraan sosial dan kesihatan mental pelajar terutama golongan remaja.

Menurutnya, pandemik tidak wajar dijadikan sebab untuk merampas hak pendidikan dan perkembangan pelajar.

Sebelum ini, Kluge berulang kali meminta negara-negara di benua Eropah menangani kesan kesihatan yang berkaitan dengan pembelajaran secara dalam talian.

Menurut cadangan baharu yang diterbitkan pada Jumaat, ujian COVID-19 perlu diutamakan untuk anak-anak yang mempunyai gejala jangkitan pernafasan akut jika mereka tergolong dalam kumpulan rentan.

WHO juga mencadangkan ujian sama perlu dilakukan ke atas pelajar jika mempunyai kaitan dengan kontak rapat pesakit COVID-19 yang tidak menunjukkan gejala.

Bagaimanapun, ujian berkenaan tidak digalakkan jika tiada kes jangkitan COVID-19 di kesan di sekolah berkenaan.

WHO berpendapat penutupan sekolah hanya dilakukan sebagai tindakan terakhir apabila berlaku peningkatan kes jangkitan COVID-19.