COVID-19: WHO cadang garis panduan teruskan perkhidmatan kesihatan utama

Faris Danial Razi
Mac 30, 2020 01:12 MYT
Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pihaknya berpuas hati dengan 20,000 petugas kesihatan di United Kingdom yang menawarkan diri untuk kembali bekerja. - Foto AP
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan garis panduan bagi membantu negara dalam menangani COVID-19 sambil mengekalkan sektor perkhidmatan kesihatan utama.
Ia termasuk dalam bentuk bantuan yang disasarkan seperti mengekalkan akses kepada perkhidmatan kesihatan penting yang berkualiti, rutin imunisasi, serta penjagaan bagi ibu mengandung dan bersalin.
Selain itu, persediaan rawatan bagi penyakit berjangkit dan yang tidak berjangkit, kesihatan mental, dan perkhidmatan derma darah.
Garis panduan itu turut memastikan negara-negara di bawah induknya mempunyai tenaga kerja yang mencukupi bagi menangani situasi wabak COVID-19.
Untuk itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pihaknya berpuas hati dengan 20,000 petugas kesihatan di United Kingdom yang menawarkan diri untuk kembali bekerja dan negara-negara lain seperti Persekutuan Rusia yang membabitkan pelajar dan pelatih perubatan dalam tindak balas memerangi COVID-19.
Dalam membantu negara-negara mengatasi peningkatan kes COVID-19, WHO menerbitkan garis panduan terperinci dan latihan mengenai cara menubuh dan mengurus pusat rawatan bagi virus berkenaan.
Berikut merupakan garis panduan yang ditetapkan oleh WHO dalam memerangi wabak COVID-19:
1) Langkah untuk membuat pemeriksaan dan saringan di kemudahan kesihatan, menerusi kegunaan semula tapak bangunan lama;
2) Langkah untuk menubuhkan kemudahan komuniti untuk menjaga pesakit ringan;
3) Langkah untuk mendirikan pusat rawatan, dengan menaikkan semula wad hospital atau seluruh hospital, atau dengan menubuhkan sebuah hospital baharu di sebuah tapak.
Garis panduan itu meliputi reka bentuk struktur, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan, dan sistem ventilator.
Jelas WHO, garis panduan itu dilihat mampu menyelamatkan nyawa serta menangani lonjakan kes yang sedang dihadapi oleh beberapa negara ketika ini.
“Kemudahan ini juga akan mempunyai manfaat jangka panjang untuk sistem kesihatan apabila krisis semasa berakhir.
“Di samping memiliki kemudahan untuk pesakit, penting juga negara-negara mempunyai bekalan diagnostik, peralatan perlindungan dan bekalan perubatan yang lain,” jelas Dr Tedros.
BACA: COVID-19: Dunia ada 'peluang kedua', ambil 6 langkah penting perangi virus - WHO
#COVID-19 #Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus #koronavirus #perkhidmatan kesihatan utama #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO
;