COVID-19: WHO bimbang situasi kritikal di India
Astro Awani
April 24, 2021 06:35 MYT
April 24, 2021 06:35 MYT
SITUASI kritikal di India membimbangkan badan kesihatan dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, apa yang berlaku di negara penduduk paling padat di dunia itu adalah ingatan kepada semua bagaimana usaha berterusan perlu dilakukan untuk menangani COVID-19.
"Situasi di India merupakan satu peringatan yang dahsyat tentang apa yang mampu dibuat oleh virus ini dan mengapa kita mesti gunakan apa saja kaedah untuk melawannya melalui pendekatan yang komprehensif dan bersepadu - langkah-langkah kesihatan awam, vaksin, diagnostik dan terapi.
"Ini adalah senario yang berlaku di seluruh dunia dan akan terus berlaku kecuali kita memastikan semua pihak dapat akses sama rata kepada alat yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.
"Penyelesaiannya mudah, kita perlukan negara dan syarikat yang menguasai sumber berkenaan untuk berkongsi supaya kita dapat menyelamatkan nyawa," katanya di Geneva, Switzerland, pada Jumaat.
India kini giat memerangi gelombang kedua jangkitan koronavirus dengan catatan kes harian semakin bertambah setiap hari, malah melebihi rekod sebelum ini.
Data Johns Hopkins University meletakkan India negara kedua di dunia paling teruk terjejas selepas Amerika Syarikat.
#India
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#COVID-19
#WHO
#Amerika Syarikat
#Switzerland
#Tedros Adhanom Ghebreyesus
#kesihatan
#Johns Hopkins University
#koronavirus
#vaksin