COVID-19: Vietnam bersetuju beli 30 juta dos vaksin AstraZeneca

Agensi
Januari 4, 2021 16:00 MYT
Vietnam sedang dalam usaha membangunkan vaksin sendiri, Nano Covax yang telah menjalankan ujian klinikal ke atas manusia. Foto - Foto REUTERS
HANOI: Vietnam bersetuju untuk membeli 30 juta dos vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca di samping berusaha untuk mendapatkan lebih banyak vaksin daripada beberapa sumber lain, termasuk Pfizer.
Negara itu sebelum ini turut bersetuju akan membeli vaksin buatan Rusia.
Namun, Vietnam berjanji tidak akan mendapatkan bekalan vaksin secara tergesa-gesa memandangkan negara itu berjaya mengawal penularan virus dengan hanya 1,494 kes positif dan 35 kematian direkodkan setakat ini.
Vaksin yang dibangunkan AstraZeneca bersama Universiti Oxford itu lebih murah itu berbanding vaksin lain serta boleh disimpan dalam peti sejuk konvensional yang memudahkan aspek logistik dan pengedaran, terutama di negara membangun.
“Kami telah menandatangani persetujuan untuk menjaminkan vaksin AstraZeneca buat 15 juta orang, bersamaan dengan 30 juta dos,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Truong Quoc Cuong.
Tambah beliau, Vietnam juga sedang berunding untuk membeli vaksin dari Pfizer, vaksin Sputnik V dari Rusia serta dari China.
Katanya, Vietnam turut layak membeli vaksin daripada program COVAX oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk meliputi 16 peratus populasinya, bersamaan dengan 15.6 juta orang.
Vietnam juga sedang dalam usaha membangunkan vaksin sendiri, ‘Nano Covax’ yang telah menjalankan ujian klinikal ke atas manusia manakala vaksin tempatan kedua bakal memulakan ujian klinikal bulan ini.
Namun, negara itu masih belum meluluskan penggunaan mana-mana vaksin buat penduduknya.
#vaksin #COVID-19 #Vietnam #AstraZeneca #Pfizer #WHO #China #Rusia #vaccine #Oxford #COVAX
;