COVID-19: Varian Omicron XBB dikesan di Indonesia
Bernama
Oktober 23, 2022 16:49 MYT
Oktober 23, 2022 16:49 MYT
JAKARTA: Indonesia melaporkan kes jangkitan tempatan pertama varian Omicron XBB melibatkan seorang wanita berusia 29 tahun yang tinggal di Surabaya, Jawa Timur.
Menurut Kementerian Kesihatan wanita itu baharu pulang dari Lombok, Nusa Tenggara Barat.
Jurucakap kementerian itu Dr Mohammad Syahril berkata wanita itu disahkan positif pada 26 Sept dan mempunyai gejala termasuk batuk, demam dan hidung berair.
Wanita itu dibenarkan keluar dari pengasingan COVID-19 pada 3 Okt dan ujian terhadap 10 kontak rapat wanita itu semuanya negatif, katanya dalam satu kenyataan,.
Dr Mohammad Syahril berkata kementerian akan meningkatkan pengawasan di pintu masuk dan menggesa orang ramai untuk lebih berwaspada serta mematuhi protokol kesihatan.
Data pasukan petugas COVID-19 Indonesia menunjukkan 2,087 kes direkodkan pada Sabtu manakala jumlah kes keseluruhan sebanyak 6.47 juta.
-- BERNAMA