COVID-19: Varian Delta meningkat, pemansuhan sekatan England mungkin ditangguh
Astro Awani
Jun 12, 2021 08:42 MYT
Jun 12, 2021 08:42 MYT
LONDON: Harapan Perdana Menteri Britain Boris Johnson untuk menamatkan sekatan COVID-19 England pada 21 Jun tergantung susulan peningkatan kes varian Delta yang semakin merebak.
Johnson akan mengumumkan pada Isnin, sama ada sekatan akan dapat dimansuhkan sepenuhnya seperti dirancang.
Penularan pantas varian Delta merupakan kebimbangan yang menjadi ancaman rancangan tersebut.
Ini mendorong spekulasi pembukaan semula 21 Jun akan ditangguh atau kelonggaran tidak diberikan sepenuhnya.
Jumlah kes varian Delta yang pertama kali dikesan di India meningkat di UK daripada 29,892 kepada 42,323, pada Jumaat.
Pihak Berkuasa Kesihatan England berkata, varian itu menyumbang lebih daripada 90 peratus kes baharu COVID-19.
Varian Delta dikatakan lebih mudah tersebar berbanding varian Alpha yang pertama kali dikesan di UK.
Britain pada Jumaat, merekodkan 8,125 kes baharu, jumlah tertinggi sejak Februari.