COVID-19: Varian Delta dikesan di 11 daerah Indonesia, situasi meruncing

Astro Awani
Julai 14, 2021 07:33 MYT
Indonesia menghadapi cabaran mengekang penyebaran COVID-19 apabila negara itu melaporkan 54,000 jangkitan pada Rabu. Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Kebimbangan meningkat di Indonesia mengenai kemampuan mengatasi lonjakan kes koronavirus yang disumbangkan varian Delta yang kini menular dengan cepat.
Indonesia menghadapi cabaran mengekang penyebaran COVID-19 apabila negara itu melaporkan 54,000 jangkitan pada Rabu.
Angka itu meningkat lebih 10 kali ganda berbanding pada awal bulan Jun walaupun dengan langkah-langkah sekatan baharu yang dilaksanakan.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata varian Delta dikesan di 11 daerah di luar pulau Jawa yang padat penduduknya.
Kes dan kadar kemasukan ke hospital meningkat di beberapa wilayah seperti Sumatera, Papua dan Kalimantan manakala wilayah seperti Papua Barat menunjukkan kebimbangan.
Di timur Nusa Tenggara, kadar jangkitan meningkat dua kali ganda dalam tiga hari terakhir, sementara di Lampung, Sumatera, penggunaan katil mencapai tahap 86 peratus, Kalimantan 85 peratus, dan Papua Barat 79 peratus.
Pakar kesihatan menyatakan wilayah-wilayah di Indonesia kini berada dalam keadaan yang sangat berisiko.
Sistem kesihatan berada dalam keadaan tertekan dan berisiko lumpuh.
Pakar kesihatan turut memberi amaran Indonesia kemungkinan akan menjadi seperti India pada bulan April dan Mei lalu apabila mencatatkan kes jangkitan tinggi.
Sebanyak 1,500 bekalan oksigen dijangka tiba dari China dan Singapura.
Lebih 2,000 doktor yang baru tamat pengajian dan 20,000 jururawat akan dikerahkan ke hospital untuk meningkatkan kapasiti sistem kesihatan.
#jangkitan #Indonesia #Jakarta #penggunaan katil #11 wilayah #bekalan tong oksigen #COVID-19 #koronavirus #petugas kesihatan
;