COVID-19: Varian baharu UK sumbang 18 peratus kes positif di Itali

Astro Awani
Februari 17, 2021 06:39 MYT
Dr Alberto Albani meramalkan bahawa sistem penjagaan kesihatan nasional akan menjadi semakin lumpuh. - Youtube / Antenna 2 TV Avezzano
ROM: Varian baharu COVID-19 yang menular lebih cepat merebak di beberapa kawasan di Itali dan kini di tahap membimbangkan.
Minggu lalu, para saintis Institut Kesihatan Nasional Itali mendedahkan, varian baharu COVID-19 yang pertama kali dikesan di Britain, kini menyumbang hampir 18 peratus daripada semua kes di Itali.
Para doktor ketika ini meminta langkah-langkah baharu yang lebih ketat dilakukan kerana dibimbangi hospital-hospital di negara itu akan lumpuh.
Penyelaras wilayah untuk kecemasan COVID-19 di Abruzzo, Dr Alberto Albani meramalkan bahawa sistem penjagaan kesihatan nasional akan menjadi semakin lumpuh.
“Saya faham bahawa apa yang saya katakan tidak bagus kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi yang serius di seluruh wilayah yang sudah letih melalui langkah-langkah ketat seperti itu sebelumnya.
“Tetapi saya percaya bahawa hanya penutupan serius selama tiga minggu di seluruh negara dapat menyekat wabak penyakit ini, penutupan tiga minggu sepenuhnya di seluruh negara," tegasnya.
Di wilayah Abruzzo di Itali, doktor mengatakan 60 peratus kes coronavirus di wilayah Pescara dan Chieti didapati dijangkiti dengan varian yang terdapat di UK.
Variannya cepat merebak, tidak lama lagi menjadi dominan dan akhirnya menggantikan strain virus utama.
Hospital di Abruzzo yang tinggi kepadatan penduduk, begitu juga dengan Pescara dan Chieti, hampir mencapai kemampuan penuh mereka.
Pesakit juga sudah dibawa ke daerah lain kerana unit rawatan rapi di sana hampir penuh.
Bandar-bandar tersebut telah diisytiharkan sebagai zon merah.
#COVID-19 #Itali #Dr Alberto Albani #varian baharu #Pescara #Institut Kesihatan Nasional Itali #Chieti
;