COVID-19: Varian baharu ancam pemulihan global - G20
Astro Awani
Julai 10, 2021 06:44 MYT
Julai 10, 2021 06:44 MYT
VENICE: Peningkatan kes varian koronavirus dan akses terhad terhadap vaksin di negara-negara membangun mengancam pemulihan ekonomi global.
Kumpulan negara G20 berkata demikian ketika berkumpul di Venice, Itali pertama secara bersemuka sejak wabak COVID-19 melanda.
Pertemuan itu turut merangkumi sokongan peraturan baharu bertujuan menghalang syarikat multinasional mengalihkan keuntungan ke negara cukai rendah.
Itu membuka jalan bagi para pemimpin G20 untuk memuktamadkan kadar cukai korporat minimum global baharu sebanyak 15 peratus pada sidang kemuncak di Rom pada bulan Oktober.
Ini suatu langkah yang dapat mengumpulkan ratusan bilion dolar untuk perbendaharaan awam yang sedang mengalami krisis COVID-19.
Prospek ekonomi global telah meningkat sejak perbincangan G20 pada bulan April hasil pelancaran vaksin dan pakej sokongan ekonomi, tetapi mengakui kerapuhannya dalam menghadapi varian seperti Delta yang cepat merebak.
Kumpulan G20 menambah, pemulihan dicirikan oleh perbezaan besar di seluruh dan di dalam negara serta tetap terdedah kepada risiko penyebaran varian baru virus COVID-19 dan langkah vaksinasi yang berbeza
Walaupun negara-negara G20 berjanji untuk menggunakan semua usaha untuk memerangi COVID-19, tuan rumah Itali mengatakan terdapat kesepakatan untuk tidak mengenakan sekatan baharu pada orang orang ramai.
Persidangan itu juga menekankan sokongan terhadap pemberian vaksin global yang adil namun tidak mengusulkan sebarang langkah konkrit ssebaliknya hanya mengakui cadangan AS$50 bilion dana vaksin oleh tabung kewangan antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini menegaskan terdapat perbezaan ketara vaksinasi antara negara kaya dan membangun.
Ini melemahkan usaha mengekang wabak koronavirus dan walaupun beberapa negara kaya telah memberikan dua pertiga rakyat mereka vaksin namun angka itu jauh di bawah 5 peratus untuk banyak negara Afrika.
Itali mengatakan bahawa G20 akan kembali ke masalah pembiayaan vaksin untuk negara-negara miskin menjelang Sidang Kemuncak Rom pada bulan Oktober.
#G20
#Syarikat multinasional
#pemulihan ekonomi global
#sidang kemuncak
#Varian Delta
#varian baharu
#Tabung Kewangan Antarabangsa
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#WHO