COVID-19: Vaksin Pfizer, Moderna lulus untuk kanak-kanak 6 bulan ke 5 tahun
Astro Awani
Jun 18, 2022 08:30 MYT
Jun 18, 2022 08:30 MYT
WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer dan Moderna untuk kumpulan umur kanak-kanak dari enam bulan ke lima tahun.
Ia susulan saranan daripada pakar penasihat agensi itu.
Dengan kelulusan ini, sekitar 18 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur berkenaan layak untuk menerima vaksin.
USFDA meluluskan dua dos vaksin bagi Moderna sementara tiga dos vaksin bagi Pfizer.
"Ibu bapa dan penjaga serta penyedia perkhidmatan boleh meyakini bahawa dua vaksin ini diluluskan dengan fakta sains dan tujuan keselamatan yang menjadi keutamaan kami."
Pemberian vaksin bagi kumpulan umur ini juga perlu mendapat lampu hijau dari pada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Kerajaan AS memaklumkan sebelum ini, sebaik mendapat kelulusan, 10 juta dos akan dihantar ke seluruh negara.
Vaksin berkenaan diuji ke atas ribuan kanak-kanak.
Pfizer meletakkan kadar keberkesanan vaksin pada tahap 80 peratus sementara Moderna pada 51 peratus.