COVID-19: Vaksin Moderna kekal berkesan selepas enam bulan

Astro Awani
Ogos 5, 2021 07:02 MYT
Moderna mendakwa vaksin COVID-19 dibangunkannya mencatat keberkesanan sekitar 93 peratus sehingga enam bulan selepas dos kedua. -Gambar fail
MODERNA mendakwa vaksin COVID-19 dibangunkannya mencatat keberkesanan sekitar 93 peratus sehingga enam bulan selepas dos kedua.
Data ini hampir sama dengan dapatan 94 peratus keberkesanan yang dilaporkan dalam ujian klinikalnya sebelum ini.
Walau bagaimanapun, syarikat itu mengakui suntikan penggalak atau booster masih diperlukan sebelum musim sejuk kerana tahap antibodi dijangka akan berkurangan.
Moderna dan Pfizer-BioNTech yang menghasilkan vaksin COVID-19 menggunakan teknologi mRNA telah membangunkan dos penggalak untuk mempertahankan tahap perlindungan tinggi daripada virus terutama ketika pelbagai varian sedang meluas.
Menurut Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, syarikat itu tidak akan dapat menghasilkan lebih daripada 800 juta hingga 1 bilion dos vaksin yang telah disasarkannya untuk tahun ini.
Katanya Moderna tidak akan lagi menerima tempahan vaksin kerana kapasiti pembuatan telah capai tahap maksimum.
Data terbaharu itu hasil daripada ujian klinikal melibatkan 30,000 peserta yang disuntik vaksin itu pada bulan Disember.
Ini dibandingkan dengan data daripada Pfizer dan BioNTech minggu lalu yang menunjukkan keberkesanan vaksin mereka berkurangan sekitar 6 peratus setiap dua bulan, menurun kepada sekitar 84 peratus enam bulan selepas suntikan kedua.
Dos Moderna mengandungi 100 mikrogram, sementara Pfizer mengandungi 30 mikrogram.
Data enam bulan juga menunjukkan bahawa vaksin Moderna masih memberikan perlindungan 98 peratus terhadap penyakit yang kritikal dan 100 peratus berkesan untuk mencegah kematian yang disebabkan oleh COVID-19.
#Moderna #COVID-19 #dos kedua #mRNA #vaksin #suntikan #Pfizer-BioNTech #booster #penggalak #Stephane Bancel #kapasiti pembuatan
;