COVID-19: UK umum pelan longgarkan sekatan minggu ini

Astro Awani
Jun 22, 2020 08:06 MYT
Matt Hancock (tengah) berkata lebih banyak perniagaan akan dibuka semula bermula pada bulan Julai. - Stefan Rousseau/Pool via REUTERS
Britain akan mengumumkan pelan melonggarkan sekatan akibat COVID-19 minggu ini.
Menteri Kesihatannya, Matt Hancock berkata lebih banyak perniagaan akan dibuka semula bermula Julai.
"Kami akan menetapkan pendekatan masa depan untuk arahan dua meter dan perubahan yang dapat kami buat dalam rancangan itu akhir minggu ini.
“Kami mempunyai rancangan, rancangan itu berjalan lancar, jumlah kes baharu menurun, jumlah pesakit di hospital semakin menurun dan syukur jumlah mereka yang maut akibat koronavirus juga semakin menurun.
“Oleh itu, rancangan berjalan lancar dan kita boleh mengambil langkah lebih jauh dengan selamat dan berhati-hati untuk melonggarkan sekatan dan kami akan mengumumkan lebih banyak minggu ini,” katanya.
Pelan itu dijangka melonggarkan lagi arahan penjarakan sosial dua meter.
Sebelum ini, majikan terutama di sektor perhotelan menyifatkan peraturan penjarakan dua meter menyukarkan operasi mereka.
Jelas Hancock, kerajaan akan mengumumkan butiran pelan melonggarkan sekatan tersebut minggu ini.
Orang ramai dijangka perlu mendaftarkan maklumat mereka terlebih dahulu semasa mengunjungi pub atau restoran.
#Britain #COVID-19 #koronavirus #Matt Hancock #penjarakan sosial #sektor perhotelan
;