COVID-19: UK negara pertama luluskan vaksin Pfizer dan BioNTech

Fareez Azman
Disember 2, 2020 16:17 MYT
United Kingdom meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 dikeluarkan Pfizer dan BioNTech, penggunaan vaksin bermula minggu hadapan. - Gambar fail/REUTERS
LONDON: United Kingdom (UK) menjadi negara pertama meluluskan vaksin COVID-19 daripada Pfizer dan BioNTech dan akan mula menggunakan vaksin itu seawal minggu hadapan.
Memetik laporan Reuters, pengumuman itu dibuat selepas UK mendapat pandangan daripada Agensi Penguatkuasaan Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA) negara itu.
"Kerajaan hari ini telah menerima cadangan dari Badan Pengawas produk Ubat dan Kesihatan bebas (MHRA) untuk menyetujui vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 untuk digunakan.
"Vaksin itu akan tersedia di seluruh UK mulai minggu hadapan," jelas jurucakap kerajaan UK.
Kebenaran untuk UK menggunakan vaksin COVID-19 secara kecemasan itu menjadi detik bersejarah dalam memerangi wabak berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata perkembangan itu amat dinantikan oleh syarikat pengeluar vaksin berkenaan.
"Keizinan ini adalah tujuan yang telah kami usahakan sejak pertama kali kami isytiharkan bahawa sains akan menang.
"Kami memuji MHRA atas kemampuan mereka untuk melakukan penilaian yang teliti dan mengambil tindakan tepat pada masanya untuk membantu melindungi rakyat UK," katanya.
Tindakan UK itu diharapkan dapat diambil oleh negara lain.
Pada masa sama, Pfizer katanya akan terus mengeluarkan vaksin berkualiti tinggi dan selamat untuk seluruh dunia.
Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock turut menyambut baik perkembangan itu.
"Ini adalah berita baik," jelas Hancock dalam reaksinya.
Bagaimana vaksin dibangunkan?
Vaksin terbaharu dikenali sebagai vaksin mRNA menggunakan kod genetik daripada pandemik COVID-19. Kod genetik ini mengajar sistem imunisasi tubuh untuk melawan virus COVID-19.
Vaksin mRNA ini belum pernah diluluskan bagi kegunaan manusia, meskipun ada yang telah menggunakannya secara percubaan klinikal.
Vaksin buatan Belgium ini juga perlu disimpan di dalam peti simpanan dengan suhu negatif 70 darjah Celsius. Ia perlu dibawa menggunakan peti khas dan dipek dengan ais kering. Jangka hayatnya selepas dihantar, selama lima hari jika disimpan di peti sejuk.
Siapa penerima vaksin ini, dan bila?
Penerima vaksin disasarkan bagi golongan berisiko tinggi terutama berusia lebih dari 80 tahun, petugas barisan hadapan, pekerja kesihatan dan sosial yang lain.
Stok pertama vaksin ini dijangka tiba minggu hadapan dan imunisasi secara bersasar bagi rakyat UK berusia lebih 50 tahun, golongan mempunyai masalah kesihatan.
Vaksin ini akan diberikan sebanyak dua kali iaitu vaksin kedua akan diberikan selepas 21 hari pengambilan vaksin pertama. Vaksin kedua bertindak sebagai booster. Sistem immuniti terhadap COVID-19 pula dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk dibangunkan di dalam badan penerima vaksin.
Bagaimana pula dengan vaksin COVID-19 yang lain?
Terdapat beberapa pengeluar vaksin COVID-19 yang belum menerima sebarang kelulusan dari mana-mana pihak.
Salah satunya dari Moderna yang menggunakan vaksin mRNA seperti mana vaksin Pfizer dan memberi perlindungan sama. United Kingdom telah membuat pra-pesanan sebanyak tujuh juta dos vaksin ini yang dijangka tiba pada musim bunga kelak.
Manakala United Kingdom dijangka membeli 100 juta dos vaksin COVID-19 berlainan daripada Universiti Oxford dan AstraZeneca. Vaksin berkenaan menggunakan virus tidak berbahaya dan diubah suai agar menyamai ciri-ciri virus yang menyebabkan COVID-19.
#United Kingdom #COVID-19 #Pfizer dan BioNTech #Reuters #vaksin COVID-19 #MHRA #kelulusan #Penggunaan #rakyat #kesihatan #Sains #pandemik
;