COVID-19: UK beri amaran kemasukan ke hospital meningkat

Astro Awani
Januari 8, 2022 08:26 MYT
Dianggarkan 70 peratus pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) hospital tidak menerima sebarang vaksin. - Foto fail/AP
LONDON: Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid memberi amaran kemasukan ke hospital meningkat dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) menghadapi "beberapa minggu yang sukar".
Javid bercakap semasa lawatan ke King's College Hospital di selatan London, di mana beliau menekankan kepentingan mendapatkan vaksin.
Jelasnya, perkara terbaik orang ramai boleh lakukan adalah mendapatkan dos penggalak atau dos pertama dan kedua jika belum mendapatkan vaksin.
Javid berkata beliau telah diberitahu semasa lawatannya, dianggarkan 70 peratus pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu tidak menerima sebarang vaksin.
Menteri Kesihatan itu berkata, Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) UK menganggarkan minggu lalu satu daripada 15 orang di London dijangkiti COVID-19.
Tambah beliau, pihaknya tidak pernah melihat kadar jangkitan seperti itu dengan COVID-19 sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau juga berkata terdapat "tanda-tanda yang baik" apabila membandingkan Omicron dengan varian COVID-19 sebelumnya.
Namun katanya dengan kadar jangkitan yang tinggi walaupun tahap keparahannya rendah, pihaknya menerima kemasukan ke hospital dan memberi amaran kepada orang ramai untuk "kekal berhati-hati".
Di UK, hampir 180,000 kes baharu direkodkan pada Khamis dan jangkitan Omicron telah memaksa ramai pekerja tinggl di rumah.
Di London, kira-kira 200 anggota tentera, termasuk 40 pegawai perubatan, telah dikerahkan ke hospital untuk membantu.
Minggu depan, 150 lagi tentera akan membantu perkhidmatan ambulans di barat laut England.
Sejumlah 39,142 kakitangan NHS di hospital di England tidak hadir atas sebab COVID-19 pada 2 Januari meningkat 59 peratus daripada minggu sebelumnya.
UK juga telah mengubah peraturan ujian koronavirus untuk mengurangkan jumlah masa individu yang diuji positif perlu mengasingkan diri.
#COVID-19 #vaksin #dos penggalak #Omicron
;