COVID-19: UK benarkan campur dos dari pengeluar berbeza
Astro Awani
Januari 2, 2021 07:58 MYT
Januari 2, 2021 07:58 MYT
UNITED Kingdom (UK) akan membenarkan orang ramai diberi suntikan vaksin COVID-19 dari pengeluar berbeza atau mencampurkan dos walaupun belum ada bukti keberkesanannya.
Bagaimanapun, ia hanya akan diberikan dalam beberapa keadaan, iaitu sekiranya vaksin sesebuah pengeluar itu kehabisan stok.
Ketua Imunisasi Kesihatan Awam UK, Mary Ramsay memaklumkan, situasi ini hanya akan dibuat sekiranya benar-benar perlu sementara pakar juga tidak mengesyorkan campuran vaksin itu.
"Seboleh mungkin, mereka hanya diberikan vaksin yang sama. Tetapi sekiranya ia tidak boleh dilakukan, lebih baik diberi dos kedua dari vaksin yang sama daripada tidak diberi vaksin kedua langsung," katanya.
Kerajaan UK menetapkan, sekurang-kurangnya dua dos vaksin diberi kepada setiap pesakit dalam selang masa beberapa minggu.
Namun, belum ada penemuan bukti mengatakan dua jenis vaksin dari pengeluar berbeza boleh dicampurkan bersama.
UK mencatatkan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini, menyaksikan wad hospital dipenuhi pesakit itu dan memaksa kerajaan mengetatkan kawalan pergerakan.
Lebih 74,000 penduduk maut akibat virus itu di UK, negara kedua dengan kes kematian tertinggi di Eropah.
Kebanyakan hospital di UK berada pada tahap kritikal untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit.
UK pada bulan lalu bersetuju melulusan penggunaan bagi kecemasan dua jenis vaksin yang dikeluarkan Pfizer/BioNTech dan AstraZeneca University Oxford.
#Mary Ramsay
#COVID-19
#vaksin
#AstraZeneca
#Pfizer
#BioNTech
#kesihatan
#kerajaan
#United Kingdom
#campur