COVID-19: Ujian dapati vaksin AstraZeneca berkesan lindungi warga emas
Agensi
November 19, 2020 22:44 MYT
November 19, 2020 22:44 MYT
VAKSIN buatan syarikat farmaseutikal dan biofarmaseutikal AstraZeneca dan Universiti Oxford didapati berkesan dalam melindungi golongan warga emas, menurut data terbaharu yang diumumkan pada Khamis.
Data yang diterbitkan dalam jurnal kesihatan The Lancet itu menunjukkan peningkatan tahap imuniti dalam kalangan peserta ujian klinikal yang berusia 70 tahun ke atas.
“Kajian ini mendapati reaksi antibodi dan sel-T adalah sangat memberangsangkan dalam kalangan warga emas yang disuntik vaksin,” kata perunding dan penyelidik utama Oxford Vaccine Group, Maheshi Ramasamy kepada Reuters.
Walaupun begitu, ujian klinikal fasa ketiga dan fasa terakhir masih sedang dijalankan bagi mengesahkan penemuan berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah Oxford Vaccine Group, Andrew Pollard berkata, keputusan ujian berkenaan dijangka diketahui hujung Disember ini.
Katanya, buat masa ini masih terlalu awal untuk mengetahui jika vaksin itu berkesan dalam mencegah jangkitan COVID-19 dan kajian susulan harus dijalankan untuk mengetahui keberkesanannya.
Vaksin COVID-19 Oxford dan AstraZeneca adalah antara beberapa vaksin yang sedang dalam fasa-fasa terakhir ujian klinikal dalam perlumbaan penghasilan vaksin.
Vaksin Pfizer dan BioNtech, vaksin Sputnik V dan vaksin Moderna sudahpun mengumumkan keputusan ujian klinikal fasa terakhir.