COVID-19: Ubat antimalaria disyor Trump dikaitkan dengan peningkatan kematian

Astro Awani
April 22, 2020 10:19 MYT
Ubat antimalaria hydroxychloroquine yang disyorkan Trump didapati tidak berkesan, malah memburukkan lagi kadar kematian. -Gambar fail
SEJENIS ubat antimalaria yang disyorkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk merawat COVID-19 didapati tidak mendatangkan sebarang kebaikan, malah dikaitkan dengan peningkatan kematian pesakit COVID-19.
Kadar kematian dalam kumpulan yang dirawat menggunakan ubat antimalaria hydroxychloroquine dilaporkan lebih teruk berbanding rawatan tanpa ubat tersebut.
Kadar pesakit yang memerlukan bantuan ventilator secara amnya sama, menunjukkan tiada kelebihan dalam penggunaan hydroxychloroquine terhadap pesakit COVID-19.
Kajian itu dibuat Veterans Affairs (AS) terhadap pesakit di bawah kendaliannya di seluruh negara melibatkan 368 pesakit lelaki di mana 97 menerima hydroxychloroquine, 113 diberi hydroxychloroquine dicampur antibiotik azithromycin, dan 158 tanpa rawatan hydroxychloroquine.
Hasil kajian bersama penyelidik akademik itu mendapati lebih 27 peratus pesakit dirawat dengan hydroxychloroquine serta 22 peratus yang diberi terapi kombinasi meninggal dunia.
Dapatan itu diperoleh susulan hanya 11.4 peratus kematian direkod dalam kumpulan yang tidak diberi ubat tersebut.
Ia lantas menimbulkan persoalan berhubung keselamatan dan keberkesanan rawatan berkenaan yang digunakan secara meluas di AS.
#antimalaria #azithromycin #COVID-19 #Donald Trump #Hydroxychloroquine #keberkesanan rawatan #koronavirus
;