COVID-19: UAE isytihar berjaya atasi krisis
Astro Awani
Oktober 6, 2021 06:04 MYT
Oktober 6, 2021 06:04 MYT
DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengisytiharkan negara itu berjaya menangani krisis COVID-19 dengan merekodkan jangkitan terendah bulan ini sejak Ogos tahun lalu.
Menurut Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohammed Zayed Al Nahyan, pihaknya mahu memastikan kehidupan penduduk UAE kembali normal.
"Hari ini hari yang diberkati dapat melihat wajah-wajah anda semua. Saya membawa kepada anda satu berita baik, sesuatu yang baik, keadaan kesihatan di Emiriah Arab Bersatu baik.
"Saya ingin meyakinkan anda semua bahawa kehidupan perlu kembali normal. Mungkin akan ada berlakunya perubahan tingkah laku hidup kita dalam beberapa cara, sama ada dalam pekerjaan kita, pelajaran anak-anak kita atau kehidupan seharian kita," katanya.
Tujuh emiriah dalam UAE merekodkan kes baharu COVID-19 kurang daripada 200 bulan ini, iaitu paling rendah sejak Ogos tahun lalu.
Walaupun kehidupan di UAE dilihat kembali normal, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal masih dikuatkuasakan.
Dubai kini berharap pada penganjuran Ekspo Dubai 2020 yang berlangsung selama enam bulan bermula 1 Oktober lalu selepas setahun tertangguh untuk menarik jutaan pengunjung, sekali gus merangsang ekonominya yang terjejas akibat pandemik.
UAE sehingga kini merekodkan lebih 737,000 kes COVID-19 termasuk 2,104 kematian.