COVID-19: Turki umum sekatan lebih ketat sehingga 17 Mei

Astro Awani
April 26, 2021 07:10 MYT
Keadaan di tengah Istanbul, 26 April, 2021. Erdogan mengumumkan sekatan paling ketat di negara itu setakat ini, menutup perniagaan dan sekolah serta mengehadkan perjalanan selama hampir tiga minggu mulai Khamis. (Foto AP)
PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan sekatan baharu paling ketat sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19 di negara itu.
Ia termasuk menutup operasi perniagaan dan sekolah-sekolah, mengehadkan perjalanan rentas negeri dan mengarahkan rakyatnya untuk duduk di rumah sekurang-sekurangnya untuk tiga minggu akan datang.
Sekatan tersebut berkuat kuasa mulai Khamis hingga 17 Mei depan, termasuk ketika sambutan Aidilfitri.
Jelasnya, tanpa sekatan yang lebih ketat, kadar jangkitan tidak menurun dan ini akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan, pelaburan dan pendidikan.
"Mulai Khamis ini, jam 7 petang, kita akan laksanakan sekatan penuh sehingga Isnin 17 Mei, jam 5 pagi," katanya di Ankara pada Isnin.
Tambah Erdogan, pelaksanaan sekatan tersebut dijangka mampu menurunkan jumlah kes harian kepada bawah 5,000.
"Dalam tempoh ketika mana Eropah kini sedang dalam proses untuk dibuka semula, kita perlu dengan pantas menurunkan kadar jangkitan kita kepada bawah 5,000, supaya tidak ketinggalan.
"Sebaliknya, ia akan memberi kesan kepada setiap sektor dari pelancongan kepada pelaburan kepada pendidikan," katanya.
Pada Isnin, Turki merekodkan 37,312 kes harian, menurun berbanding lebih 63,000 kes pertengahan April.
#rentas negeri #sektor pelancongan #Joe Biden #COVID-19 #pandemik #pelaburan #pelancongan #operasi #Aidilfitri #Turki #Ankara #pendidikan #Recep Tayyip Erdogan #sekatan
;