COVID-19: Turki umum lanjutkan selang antara dua dos vaksin
Astro Awani
April 28, 2021 07:12 MYT
April 28, 2021 07:12 MYT
TURKI mengumumkan akan melanjutkan tempoh selang antara dua dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer and BioNTech, daripada 28 hari kepada enam hingga lapan minggu.
Keputusan dibuat susulan kelewatan sistem penghantaran vaksin ke negara itu.
Menteri Kesihatan Fahrettin Koca memberitahu, keputusan diambil selepas perbincangan dengan Ketua Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin.
Koca juga berkata, Turki turut menandatangani perjanjian untuk menerima 50 juta dos vaksin Sputnik V dalam masa enam bulan, dengan pengiriman pertama dijangka tiba pada Mei.
Beliau menjangkakan, negara Asia Barat itu akan menghadapi kekurangan vaksin dalam beberapa bulan akan datang, tetapi akan menerima sejumlah besar dos selepas ini.
Setakat ini, negara dengan populasi 84 juta orang itu menggunakan lebih 22 juta dos vaksin Pfizer dan Sinovac.
Sebanyak 8.7 juta orang telah menerima vaksin penuh.
Dalam pada itu, Koca memaklumkan, Turki mengesan lima kes varian baharu yang pertama kali dijumpai di India.
Kesemua lima kes itu dikesan di Istanbul dan pesakit telah diasingkan.
#COVID-19
#vaksin
#tempoh
#selang
#Pfizer
#BioNTech
#lanjut
#Fahrettin Koca
#kekurangan vaksin
#kelewatan
#Turki
#kesihatan
#menteri
#varian baharu
#Istanbul
#India