COVID-19: Turki catat 37,303 kes baharu, tertinggi sejak mula pandemik

Astro Awani
Mac 30, 2021 07:16 MYT
Orang ramai memakai topeng pelitup muka bagi melindungi diri dari penularan virus COVID-19 di Ankara, Turki, 29 Mac, 2021. (Foto AP)
TURKI merekodkan 37,303 kes baharu COVID-19 dalam masa 24 jam menjadikannya jumlah tertinggi sejak pandemik melanda setahun lalu.
Angka kematian harian terkini adalah seramai 155 orang, menjadikan jumlah terkumpul 31,385.
Menurut Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca, varian baharu COVID-19 kini dikesan di setiap bandar di Turki.
Sebelum ini ramai pihak mendakwa punca kenaikan mendadak kes baharu di Turki adalah disebabkan varian baharu tersebut.
Koca menambah, ketika ini kadar mutasi di Turki telah mencapai 75 peratus.
Malah terdapat bandar dan wilayah yang mencapai 95 peratus kadar mutasi.
Sebilangan besar varian baharu dikenal pasti adalah dari United Kingdom, diikuti varian daripada Afrika Selatan dan Brazil.
Kerajaan Turki memperketatkan sekatan pergerakan dan perhimpunan susulan peningkatan jangkitan walaupun sebulan lepas menunjukkan penurunan.
Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan sekatan itu, termasuk melaksanakan semula perintah berkurung hujung minggu di seluruh negara.
Untuk rekod, sejumlah 15.67 juta rakyatnya sudah divaksin.
#Turki #COVID-19 #pandemik #perintah berkurung #Afrika Selatan #varian baharu #United Kingdom #Brazil
;