COVID-19: Tokyo Disneyland, Universal Studios di Jepun ditutup sehingga 15 Mac

Agensi
Februari 28, 2020 14:23 MYT
Tokyo Disneyland yang akan tutup akibat penularan wabak COVID-19. - Gambar hiasan/Reuters
Tokyo Disneyland, tarikan utama pelancong ke Jepun akan mula ditutup pada Sabtu (29 Februari) sehingga 15 Mac ini akibat penularan jangkitan koronavirus di Jepun.
Penutupan Tokyo Disneyland akan menangguhkan atau membatalkan semua acara besar-besaran dua minggu ke hadapan berikutan arahan kerajaan.
Universal Studios Japan di Osaka, yang juga dikendalikan operator yang sama juga bakal ditutup pada tarikh yang sama.
Kebimbangan tentang penularan wabak itu juga mempengaruhi operasi Tokyo DisneySea. Tarikan yang dibina pada 2001 itu juga dilaporkan akan ditutup sementara.
Operator di Oriental Land menyatakan mereka berharap akan membuka semula taman tema itu pada 16 Mac jika keadaan mengizinkan.
Pada tahun 2018, Tokyo Disneyland menerima seramai 17.9 juta pengunjung, menjadikan ia taman tema ketiga teratas paling kerap dikunjung di dunia.
Dalam pada itu, walaupun desas-desus mengatakan Sukan Olimpik Tokyo yang akan dijalankan 24 Julai ini berkemungkinan besar dibatalkan susulan wabak koronavirus, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menafikan hal itu.
Jelas Dr. Mike Ryan, Ketua Program Kecemasan Kesihatan WHO, keputusan pembatalan belum dilakukan memperlihatkan komitmen penganjur Olimpik Tokyo untuk tetap meneruskan acara seperti dirancang.
Walau bagaimanapun, Dick Pound, ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) mengatakan keputusan pembatalan mungkin akan dibuat jika penularan wabak virus itu semakin serius.
Semalam, Presiden Jepun, Abe Shinzo, memerintahkan semua sekolah di serata negara ditutup selama sebulan.
BACA: COVID-19: Malaysia tetap sertai Sukan Olimpik Tokyo 2020
#DisneySea #Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa #Jepun #koronavirus #Olimpik Tokyo 2020 #Tokyo Disneyland
;