COVID-19: Tiga lagi kes positif di Singapura

Agensi
Februari 12, 2020 19:09 MYT
Perkembangan ini menjadikan keseluruhan kes positif di Singapura menjadi 50 kes. - Gambar REUTERS
SINGAPURA mengesahkan tiga kes baharu COVID-19, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan, Kenneth Mak dalam satu sidang media pada Rabu.
Dua daripada kes itu dari gereja Grace Assembly of God dengan salah seorang mangsa bekerja di bank DBS di Pusat Kewangan Marina Bay.
Ketiga-tiga mangsa tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh beberapa minggu ini.
Ini menjadikan kes positif di Singapura kepada 50 orang.
Setakat Rabu, enam lagi pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih seramai 15 orang.
Daripada 35 kes yang masih berada di hospital, lapan berada di Unit Rawatan Rapi dan dalam keadaan kritikal.
BACA: Pakar perubatan ramal COVID-19 berakhir pada April
BACA: Koronavirus: Jumlah kematian global meningkat kepada 1,114 orang
Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong mengingatkan orang ramai biarpun ada pesakit yang stabil dan berjaya pulih, namun ada kemungkinan keadaan menjadi lebih teruk.
"Kita perlu bersedia menghadapi apa saja situasi," katanya.
Gan juga merayu kepada warga Singapura untuk tidak meminggirkan petugas perubatan yang berada di barisan hadapan untuk menjaga pesakit.
"Kata-kata yang baik akan memberi sumbangan besar kepada mereka," katanya.
Pada Rabu, DBS melaporkan seorang pekerjanya telah dijangkiti dengan COVID-19, mengakibatkan bank itu mengambil langkah berjaga-jaga dan meminta pekerja yang ditempatkan di Marina Bay Financial Center bekerja dari rumah.
Pihak bank tersebut sedang melakukan pengesanan hubungan (contact tracing) dengan semua pekerja dan mana-mana individu lain yang berhubungan dengan mereka.
#China #COVID-19 #DBS #Kementerian Kesihatan #Pusat Kewangan Marina Bay #Singapura
;