COVID-19: Tiga kes baharu di Singapura, jumlah kini 75 kes
Agensi
Februari 16, 2020 22:13 MYT
Februari 16, 2020 22:13 MYT
Tiga lagi kes positif jangkitan COVID-19 di Singapura direkodkan, menjadikan jumlah kesuluruhan kes kepada 75.
Memetik laporan Channel News Asia, Kementerian Kesihatannya memaklumkan, kes ke-73 melibatkan seorang anggota Pasukan Angkatan Udara Singapura (RSAF) yang mempunyai kontak semasa menghadiri upacara keagamaan di gereja.
Mangsa merupakan antara dua kes terbaharu yang direkodkan dari gereja tersebut.
Mangsa berusia 43 tahun itu dilaporkan mengalami simptom sejak 9 Februari lalu dan mendapatkan rawatan sehari selepas itu.
Dia dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kes ke-51 yang sebelum ini juga pergi ke gereja sama dan dikuarantin sejak 13 Februari lalu.
Pesakit kemudian dibawa ke Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID), dan disahkan positif COVID-19 pada 15 Februari.
[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat
Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Pertahanan negara itu memaklumkan akan melakukan saringan kesihatan terhadap semua anggota RSAF dan akan melakukan kerja pembersihan di situ.
Kes ke-74 pula melibatkan warga tempatan berusia 29 tahun yang mula mengalami simptom pada 12 Februari lalu.
Dia disahkan positif COVID-19 pada 15 Februari selepas menerima rawatan kedua di Hospital Alexandra.
Manakala kes-75 melibatkan seorang wanita warga tempatan berusia 71 tahun yang merupakan ahli kelurga kepada kes ke-41.
Dia disahkan positif COVID-19 pada 16 Februari dan kini sedang menerima rawatan di NCID.