COVID-19: AS tidak mansuh sekatan perjalanan susulan varian Delta

Astro Awani
Julai 26, 2021 06:47 MYT
Pengumuman yang dibuat Psaki (gambar) menghampakan syarikat penerbangan Amerika dan industri pelancongan negara itu yang menjangkakan ketibaan pelancong Eropah pada musim panas. (Foto AP)
AMERIKA Syarikat (AS) tidak akan mansuhkan sekatan perjalanan yang ada pada ketika ini susulan kebimbangan mengenai varian COVID-19 Delta dan peningkatan jumlah kes koronavirus di negara itu.
Ini bermaksud sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan melarang kemasukan ke AS sejak 2020 itu tidak akan dimansuhkan dalam masa terdekat, tegas jurucakap White House Jen Psaki.
"Memandangkan keadaan kita sekarang... dengan adanya varian Delta, kita akan mengekalkan sekatan perjalanan yang ada pada masa ini.
"Didorong oleh varian Delta, kes dalam negara terus meningkat, terutamanya di kalangan mereka yang tidak divaksinasi.
"Dan, ia nampaknya akan terus meningkat pada minggu-minggu akan datang," katanya pada Isnin.
Pengumuman itu sekali gus menghampakan syarikat penerbangan Amerika dan industri pelancongan negara itu yang menjangkakan ketibaan pelancong Eropah pada musim panas.
Amerika ketika ini melarang kemasukan daripada negara-negara Eropah, India, Afrika Selatan, Iran dan Brazil.
Sekatan perjalanan AS dikenakan ke atas China pada Januari 2020 untuk mengatasi penularan COVID-19 dan negara-negara lain ditambah ke dalam senarai sejak daripada itu.
Minggu lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengatakan, sempadan darat Amerika, Kanada dan Mexico akan tetap ditutup untuk perjalanan yang tidak penting sehingga sekurang-kurangnya 21 Ogos.
Ini walaupun Kanada mengatakan akan mula membenarkan perjalanan pelancong Amerika yang divaksinasi sepenuhnya mulai 9 Ogos.
Ditanya mengenai perbincangan presiden Joe Biden bersama Canselor Jerman Angela Merkel untuk memansuhkan sekatan terhadap Eropah dalam perjumpaan 15 Julai lalu, Psaki berkata, presiden akan menjawab mengenainya dalam beberapa hari lagi.
Sebelum ini, Pengarah Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Rochelle Walensky berkata, purata tujuh hari kes baru di AS meningkat 53% berbanding minggu sebelumnya.
Varian Delta, yang pertama kali ditemui di India, kini merangkumi lebih 80% kes baru di seluruh negara dan telah dikesan di lebih dari 90 negara.
#White House #Washington #pelancong #pelancongan #koronavirus #COVID-19 #sekatan perjalanan
;