COVID-19: Tidak cukup katil hospital, 18 pesakit di Osaka meninggal dunia di rumah
Astro Awani
Mei 12, 2021 09:12 MYT
Mei 12, 2021 09:12 MYT
SEMAKIN ramai rakyat Jepun dilaporkan meninggal dunia di rumah akibat jangkitan COVID-19, susulan masalah kekurangan katil di hospital di Osaka.
Perkara itu diburukkan lagi dengan kemunculan varian baharu yang mudah menular ketika negara matahari terbit itu sedang dilanda gelombang keempat koronavirus.
Rakyat Jepun pula semakin marah terhadap cara kerajaan menangani krisis tersebut, ditambah dengan kebimbangan berhubung penganjuran Sukan Olimpik yang dijangka bermula Julai.
Tekanan di hospital semakin meningkat, disusuli kelewatan program vaksinasi di Jepun, yang merupakan antara yang terburuk berbanding negara-negara kaya yang lain.
Pakar perubatan di Universiti Osaka, Yasutoshi Kido berkata, sejak 1 Mac lalu hingga kini, 18 pesakit COVID-19 meninggal dunia di rumah, di bandar ini.
Pihak berkuasa tidak memperincikan sebab 18 mangsa itu tidak dimasukkan ke hospital, namun berita kematian mereka timbul ketika lebih 96 peratus katil unit rawatan rapi (ICU) di wilayah tersebut dilaporkan penuh.
Kido berkata, hospital di Osaka menolak pesakit barah dan penyakit jantung untuk memberi ruang kepada kes COVID-19, namun kemampuan mereka mengatur sumber semakin lumpuh.
Gabenor Osaka, Hirofumi Yoshimura berkata, memandangkan kematian di rumah semakin meningkat, pihaknya meminta persatuan perubatan mengatur lawatan ke rumah pesakit.
Osaka merekodkan 974 kes koronavirus baharu pada Selasa, sementara Tokyo 925.
#ICU
#Tokyo
#meninggal dunia
#Jepun
#kerajaan
#mangsa
#sukan
#rakyat
#Olimpik
#perubatan
#koronavirus
#COVID-19
#program vaksinasi
#varian baharu
#Yasutoshi Kido
#Universiti Osaka
#osaka
#Hospital
#lawatan ke rumah