COVID-19: Tiada solat Jumaat, umat Islam Singapura terima demi kebaikan negara

Bernama
Mac 13, 2020 20:51 MYT
Seorang petugas sedang menjalankan kerja pembersihan dan nyahkuman di Masjid Kassim, Singapura. - Foto: Facebook Mosques & Musollas in Singapore
Untuk pertama kalinya solat Jumaat tidak dapat diadakan di seluruh Singapura pada hari ini bagi membendung penularan COVID-19.
Lebih 70 buah masjid di pulau ini diarahkan tutup selama lima hari mulai hari ini bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.
Ia berikutan terdapat dua warga Singapura dijangkiti virus itu selepas menghadiri majlis mega jemaah tabligh di Kuala Lumpur minggu lalu.
Terdahulu, republik itu telah menutup empat masjid lebih awal - Masjid Muttaqin, Masjid Kassim, Masjid Hajjah Fatimah dan Masjid Jamae Chulia - yang diyakini dikunjungi oleh warga Singapura itu.
Warga Singapura pertama yang melahirkan rasa sedih adalah Menteri Hal Ehwal Islam Singapura, Masagos Zulkifli dan mencatatkan perasaannya di laman Facebook beliau.
"Menutup masjid adalah keputusan yang berat, apalagi kita tidak dapat menjalankan solat Jumaat. Tetapi ini perlu dilakukan agar COVID-19 tidak menular dalam masyarakat dan juga negara kita.
"Malah langkah ini direstui ulama kita. Pastinya langkah ini bakal melindungi para jemaah kita, terutama sekali mereka yang lanjut usia dan uzur," katanya.
Beliau menyeru masyarakat Islam Singapura untuk meneruskan usaha mencegah penularan COVID-19 termasuk tidak bersalaman dan menggunakan sejadah dan telekung sendiri buat sementara.
Tinjauan Bernama sekitar Masjid Sultan di Kampung Glam mendapati keadaan sangat lengang tidak seperti biasa di mana masjid itu sebelum ini tidak putus-putus menerima pengunjung dalam dan luar negara.
Di setiap pintu masuk masjid itu dapat dilihat papan tanda yang bertulis; "In view of the COVID-19, the Mosque interior is temporarily closed for tourists and visitors." (susulan penularan COVID-19, bahagian dalaman masjid ditutup buat sementara waktu bagi pelawat dan pelancong).
Sebuah sepanduk besar turut digantung di pagar masjid itu berbunyi "CLOSED for tours and visits in view of COVID-19 situation. We hope to see you again soon." (Ditutup bagi pelancong dan pelawat susulan situasi COVID-19. Kami harap dapat temui anda sekali lagi di lain hari).
Sementara itu Masjid Kassim, salah satu daripada empat masjid yang ditutup sehari lebih awal telah melaksanakan proses pembersihan dan sanitasi.
"Jemaah yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah, proses pembersihan telah dilaksanakan dengan teliti semalam," ("Beloved Jemaah Alhamdulillah, the process of thorough cleaning and sanitization was done yesterday.") menurut catatan pihak pengurusan masjid itu dalam laman Facebooknya.
Ia turut disertakan gambar-gambar bagi kerja-kerja pembersihan dan sanitasi itu.
Seorang warga Singapura yang ditemui berkata beliau tidak gusar dengan penutupan masjid di republik ini kerana ia dilaksanakan mengikut Fatwa dan demi kebaikan bersama.
"Saya yakin ia bersifat sementara. Selama ini pun kami bebas dan tidak dihalang untuk menjalankan aktiviti keagamaan," kata Linda Ghani yang tinggal di Woodlands.
"Sebelum arahan ini dikeluarkan kami telah pun mengambil tindakan berjaga-jaga dengan membawa telekong dan sejadah sendiri ke masjid," kata wanita berusia 48 tahun ini.
Malah, katanya, bukan hanya masjid, gereja di sini juga telah lebih awal mengurangkan atau menghentikan aktiviti keagamaan mereka, katanya.
Sehingga kini terdapat dua kluster yang dikaitkan dengan gereja di republik ini iaitu The Life Church and Missions Singapore dan the Grace Assembly of God.
Umat Islam mewakili kira-kira 15 peratus populasi hampir 6 juta penduduk di sini.
-- BERNAMA
#COVID-19 #koronavirus #masjid singapura #Singapura #Solat Jumaat #Umat Islam
;