COVID-19: Tiada respons dari Korea Utara terhadap tawaran vaksin AS
Agensi
Mei 22, 2022 13:30 MYT
Mei 22, 2022 13:30 MYT
SEOUL: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata Korea Utara tidak memberi sebarang respons terhadap tawaran bantuan vaksin ketika negara itu kini sedang berjuang melawan COVID-19.
Hampir 2.5 juta penduduk Korea Utara dilaporkan mengalami 'demam' namun ia tidak diklasifikasikan sebagai COVID-19.
Negara itu dianggap sangat terdedah untuk berdepan krisis kesihatan yang teruk kerana tidak menjalankan pengujian besar-besaran dan bekalan vaksin yang mencukupi.
Biden mengumumkan tawaran itu pada sidang akhbar di Korea Selatan.
"Kami telah menawarkan vaksin, bukan sahaja kepada Korea Utara tetapi kepada China juga, dan kami bersedia untuk melakukannya dengan segera," kata Biden dalam penampilan bersama dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol.
"Kami tidak menerima respons," tambah Biden.
Korea Utara sebelum ini telah menolak tawaran vaksin daripada Covax, skim perkongsian vaksin global serta dari Korea Selatan, malah dilaporkan turut menolak beberapa tawaran bantuan lain.
Mereka sebaliknya mendakwa berjaya menghalang COVID-19 dengan menutup sempadannya, walaupun ramai pakar percaya virus itu telah lama wujud di sana.
Media kerajaan telah mengesyorkan ubat-ubatan seperti teh herba, air garam dan mengambil ubat penahan sakit seperti ibuprofen, manakala pemimpin negara itu, Kim Jong-un, telah menuduh pegawai-pegawai mengganggu kelancaran pengagihan rizab ubat negara.
China juga sedang bergelut untuk mengawal gelombang jangkitan daripada varian Omicron, dengan berpuluh juta penduduk masih berdepan perintah berkurung.