COVID-19: Tiada kes positif dalam komuniti baharu, ekonomi Melbourne kembali beroperasi

Agensi
Oktober 28, 2020 18:31 MYT
Menurut kerajaan wilayah Victoria, sekatan yang ditarik semula itu akan membenarkan 6,200 kedai runcit, 5,800 kafe dan restoran, 1,000 salun kecantikan dan 800 pub dibuka semula. - Reuters
MELBOURNE : Selepas empat bulan ditutup susulan peningkatan kes positif COVID-19 di Melbourne, restoran, kafe, bar dan pusat sukan di bandar raya itu kembali beroperasi.
Menurut kerajaan wilayah Victoria, sekatan yang ditarik semula itu akan membenarkan 6,200 kedai runcit, 5,800 kafe dan restoran, 1,000 salun kecantikan dan 800 pub dibuka semula.
Bagaimanapun orang awam masih lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan untuk melakukan perjalanan lebih daripada 25 kilometer dari kediaman mereka.
Malah kebanyakan pekerja masih lagi bekerja dari rumah.
Sekatan yang dilaksanakan sebelum ini menjejaskan ekonomi peniaga dan rakyat di Melbourne namun ia berjaya melandaikan lengkung gelombang kedua kes COVID-19 di wilayah itu.
Pada Rabu, dua kes baharu dilaporkan namun jangkitan kes adalah berdasarkan kes yang sudah dikenal pasti sebelum ini dan sudah diasingkan untuk menerima rawatan.
Ini merupakan kali pertama Melbourne tidak mencatatkan kes dalam komuniti sejak 9 Jun.
Susulan kejayaan itu, Perdana Menteri, Scott Morrison mengucapkan tahniah kepada penduduk di wilayah Victoria dan menasihatkan agar orang ramai kekal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
#Melbourne #COVID-19 #Scott Morrison #Australia #Victoria #kes dalam komuniti #kes positif #ekonomi #sekatan
;