COVID-19: Tiada jangkitan baharu, bandar Xi'an tarik balik sekatan
Astro Awani
Januari 17, 2022 09:15 MYT
Januari 17, 2022 09:15 MYT
XIAN: Bandar Xi'an di China mula menarik semula sekatan COVID-19 yang memasuki minggu ketiga bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menurut media tempatan, serentak itu, beberapa aktiviti pembuatan dimulakan semula di bandar berkenaan.
Menurut pihak berkuasa, sebahagian langkah sekatan ditarik balik separa atau sepenuhnya di beberapa komuniti yang dilihat berisiko rendah.
Ia sekali gus membolehkan orang ramai untuk meninggalkan kediaman.
Ini berikutan kes positif COVID-19 hanya dilaporkan dalam kalangan individu yang berada dalam tempoh kuarantin.
Bandar itu dikenakan sekatan pada 22 Disember lalu.
China berusaha untuk menghapuskan penularan tempatan varian Omicron dan Delta selaras dengan dasar 'Sifar COVID-19'.