COVID-19: Tiada bukti varian baharu lebih berisiko - WHO
Astro Awani
Disember 21, 2020 07:25 MYT
Disember 21, 2020 07:25 MYT
SEHINGGA kini, belum ada bukti menunjukkan varian baharu COVID-19 di United Kingdom dan Afrika Selatan mampu menyebabkan risiko kematian atau tahap parah yang lebih tinggi.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan, mutasi baharu virus ini sudah dijangka dan merupakan proses semula jadi.
"Dalam beberapa hari lepas, terdapat laporan berhubung varian baharu COVID-19 di Afrika Selatan dan United Kingdom.
"Seiring dengan perubahan masa, virus akan bermutasi. Ia sesuatu yang semula jadi dan memang dalam jangkaan.
"UK melaporkan, varian ini lebih mudah tersebar, tetapi setakat ini tiada bukti menunjukkan ia lebih berkemungkinan menyebabkan penyakit yang parah atau berisiko mengakibatkan kematian,” katanya pada satu sidang media di Geneva pada Isnin.
Tegas Ghebreyesus, kekangan mendapatkan virus dengan segera masih menjadi strategi utama.
Dalam pada itu, Ketua teknikal WHO, Maria Van Kerkhove berkata, tiada bukti yang menunjukkan varian baharu di United Kingdom dan Afrika Selatan saling berkaitan.
WHO sedang bekerjasama dengan saintis untuk memahami bagaimana virus ini berubah.
Selain WHO, saintis lain turut menjangkakan mutasi virus ini.
Sementara itu, Dr Julian Tang dari University of Leicester menjelaskan, antara punca mutasi tersebut adalah tahap pematuhan penjarakan fizikal dan kawalan kendiri yang semakin berkurangan di UK.
“Virus ini, mutasi sudah ada, malah sebelum perintah berkurung lagi. Namun ketika perintah berkurung, ia tidak tersebar dan tidak mereplika.
“Bagaimanapun, selepas perintah berkurung, virus itu mula tersebar. Orang ramai tidak lagi terkurung di rumah, mereka keluar, pergi ke Oxford Street, membeli-belah dan virus tersebar.
“Kemudian, virus itu telah mencapai satu tahap pada laluan mutasinya yang akan terus bermutasi pada orang-orang berbeza,” jelasnya.
#WHO
#COVID-19
#kesihatan
#United Kingdom
#virus
#Mutasi
#varian
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Tedros Adhanom Ghebreyesus
#parah
#kematian
#risiko
#Maria Van Kerkhove
#Afrika Selatan
#Julian Tang