COVID-19: Thailand tingkatkan pengesanan kes aktif

Bernama
Januari 6, 2021 11:54 MYT
Thailand tidak akan mengenakan sekatan perjalanan dari United Kingdom, walaupun terdapat kebimbangan mengenai varian baru COVID-19. - REUTERS
BANGKOK: Thailand meningkatkan pengesanan kes aktif (ACD) di Samut Sakhon di mana penularan semasa bermula sebagai satu gelombang baharu, yang menyumbang kepada kes baharu harian tiga digit di negara itu.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) Thaweeslip Wissanuyothin berkata, pihak berkuasa kesihatan awam akan melakukan 15 ke 20 ACD di pelbagai lokasi termasuk kilang, pasar dan juga rumah pangsa dan apartment setiap hari.
"Kira-kira 1,000 orang termasuk pekerja asing dan pekerja kilang akan menjalani pengesanan kes aktif COVID-19 setiap hari di Samut Sakhon," katanya pada sidang media hari ini.
Sementara itu Thailand mencatatkan 365 kes COVID-19 baharu dengan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes keseluruhan di negara itu 9,311 kes dan 66 kematian.
Kes kematian melibatkan seorang lelaki warga Thai berusia 63 tahun yang merupakan seorang pemandu feri yang membawa pekerja asing di Samut Sakhon. Lelaki itu meninggal dunia tengah hari Selasa akibat kegagalan pelbagai organ dalaman.
Daripada 365 kes baru, 349 merupakan jangkitan tempatan dan 16 kes import.
Sementara itu Thaweesilp berkata, Thailand tidak akan mengenakan sekatan perjalanan dari United Kingdom, walaupun terdapat kebimbangan mengenai varian baru COVID-19.
"Tiada keperluan tambahan dikenakan kepada penumpang daripada United Kingdom, kerana Thailand telahpun mengenakan proses saringan yang ketat dan mewajibkan kuarantin 14 hari kepada semua pengembara daripada luar negara," katanya.
Thailand pada Ahad telah mengesan kes berkaitan varian COVID-19 yang cepat merebak dipanggil B.1.1.7. pada satu keluarga empat orang, yang tiba daripada United Kingdom.
-- BERNAMA
#Thailand #gelombang baharu #COVID-19 #Samut Sakhon #kes positif #Bangkok #kes baharu #penularan #gelombang #baharu #mendadak