COVID-19: Thailand siap sedia dengan langkah keselamatan ketat untuk ketibaan pelancong asing

Bernama
September 29, 2020 05:56 MYT
Semua pelancong asing yang memasuki Thailand akan tinggal di ASQ selama 14 hari. - Reuters
BANGKOK: Thailand yang menyaksikan jumlah kes COVID-19 kini semakin berkurangan, akan menerima kumpulan pelancong asing pertama minggu depan, menandakan permulaan awal pembukaan secara beransur sektor pelancongannya, dengan langkah-langkah keselamatan yang ketat ditampilkan bagi menyekat sebarang gelombang jangkitan.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Phiphat Ratchakitprakarn berkata kumpulan pertama 150 pelancong Cina dari Guangzhou, China akan tiba di pulau peranginan Phuket dengan penerbangan khas pada 8 Okt.
Beliau berkata pada hari yang sama, satu lagi kumpulan tujuh ahli perniagaan dari China akan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di sini.
Menurutnya satu lagi kumpulan 126 pelancong dari Guangdong, China akan tiba di Bangkok pada 25 Okt, manakala 120 pelancong dari negara-negara Scandinavia akan tiba pada 1 November.
"Tiga hotel di Phuket, dan tiap satu di Chon Buri serta Buri Ram dipilih sebagai hotel kuarantin alternatif negara (ASQ) bagi pelancong asing yang memasuki Thailand," katanya dalam persidangan media di sini.
Semua pelancong asing yang memasuki Thailand akan tinggal di ASQ selama 14 hari. Selain itu, mereka diperlukan memiliki insurans kesihatan dan menjalani ujian COVID-19 negatif 72 jam sebelum ketibaan.
Sementara itu Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata Thailand sedang mengehadkan jumlah pelancong yang memasuki negara dan beberapa langkah kawalan ketat dikenakan bagi mengawal sebarang penularan jangkitan.
"Keputusan perlu dibuat dengan hati-hati. Aplikasi pengesanan dan gelang tangan khas akan membantu kita untuk mengesan mereka," katanya.
Sementara itu jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata kabinet hari ini meluluskan lanjutan keenam pengisytiharan darurat sehingga hujung bulan Oktober, memandangkan situasi pandemik COVID-19 di peringkat global masih membimbangkan.
"Perintah darurat penting dalam mengawal pandemik, di samping membantu mengawal kesan COVID-19," katanya.
Sementara itu Thailand melaporkan 14 kes COVID-19 baharu, termasuk melibatkan seorang ibu berumur 31 tahun dari kaum India, serta bayi perempuannya berumur sembilan bulan, dan kematian sifar dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes yang dikesan kini berjumlah 3,559 kes, dengan 59 kematian.
Kes terbaharu termasuk tujuh anggota tentera Thailand yang berumur antara 29 dan 53 tahun yang baru kembali dari misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Selatan Sudan, dan sehingga kini 23 anggota tentera Thailand yang baru pulang dari misi berkenaan dikesan telah dijangkiti virus berbahaya itu.
Selain itu tiga wanita berumua antara 28 dan 50 tahun yang tiba dari Hong Kong, dan wanita Thailand berumur 44 tahun yang kembali dari Turki, serta lelaki India berumur 34 tahun yang baru tiba dari India disahkan positif COVID-19.
-- BERNAMA
#PBB #China #Thailand #Turki #pelancong #penerbangan
;