COVID-19: Thailand lanjut sekatan di Bangkok dan 28 wilayah lain
Bernama
Ogos 16, 2021 23:51 MYT
Ogos 16, 2021 23:51 MYT
BANGKOK: Thailand akan melanjutkan sekatan termasuk perintah berkurung malam selama tujuh jam di Bangkok dan 28 wilayah hingga akhir bulan ini, memandangkan kes COVID-19 masih tinggi.
Dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan Awam akan mengerahkan lebih ramai Pasukan Tindak Balas Komprehensif (CCRT) COVID-19 membuat pengesanan kes aktif di Bangkok dan wilayah-wilayah yang berdekatan.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata sekatan dan langkah-langkah pencegahan di 29 kawasan 'zon merah gelap' akan dikekalkan, termasuk penutupan pusat beli-belah, larangan perhimpunan melebihi lima orang dan 'dine-in' di restoran.
Bagaimanapun, katanya, cawangan bank dan institusi kewangan di pusat beli-belah akan dibenarkan dibuka semula mulai Rabu.
"Sekatan dan langkah-langkah itu akan disemak semula dalam tempoh dua minggu lagi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat CCSA dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.
Sementara itu, Taweesin berkata agensi-agensi berkaitan sedang menyiapkan garis panduan untuk mempertimbangkan memulakan penggunaan "Pas COVID" untuk masuk ke tempat seperti restoran dan juga menyertai aktiviti.
Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatat 21,157 kes baharu dan 182 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 928,314 kes dan 7,734 korban setakat ini.
-- BERNAMA
#Thailand
#sekatan
#COVID-19
#perintah berkurung
#Bangkok
#CCSA
#Dr Taweesin Visanuyothin
#zon merah gelap