COVID-19: Thailand lanjut perintah darurat sehingga 30 Jun
Bernama
Mei 22, 2020 20:53 MYT
Mei 22, 2020 20:53 MYT
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) pada Jumaat bersetuju agar perintah darurat di negara itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini berikutan keadaan pandemik COVID-19 dunia masih belum stabil.
Perkara itu diputuskan pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan o-cha hari ini yang turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung berbanding 11 malam hingga 4 pagi sekarang.
Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata pelanjutan perintah darurat itu juga bagi membolehkan kerajaan menggubal langkah-langlah yang lebih berkesan untuk mengekang wabak selain bersedia untuk fasa pelonggaran seterusnya.
"Pelanjutan tempoh perintah darurat ini tertakluk kepada persetujuan kabinet pada Selasa," katanya pada taklimat media harian COVID-19.
Thaweesilp berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 29 Mei ini bagi membincangkan pelonggaran lebih banyak sekatan.
"Fasa ketiga pelonggaran dijangka bermula 1 Jun," katanya.
Thailand sebelum ini mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Kerajaan mula melonggarkan sekatan pada 3 Mei yang menyaksikan enam jenis perniagaan dan venue dibuka semula dan fasa kedua bermula pada 17 Mei.
Sementara itu, Thaweesilp berkata tiada kes baharu jangkitan atau kematian akibat COVID-19 direkodkan Thailand dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kekal pada 3,037 kes dengan 56 kematian.
-- BERNAMA