COVID-19: Thailand lanjut perintah darurat hingga 31 Mei

Bernama
April 27, 2020 05:44 MYT
Thailand sebelum ini mengisytiharkan darurat dari 26 Mac hingga 30 April dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 di negara itu. Foto: Reuters
Thailand melanjutkan tempoh perintah darurat sehingga akhir bulan Mei dan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan beberapa sekatan, menurut jurucakap kerajaan.
Pada Isnin, Thailand melaporkan sembilan kes baharu COVID-19 dengan satu kematian menjadikan jumlah kumulatif kes positif 2,931 dan jumlah kematian 52, manakala 2,609 pesakit telah pulih, dibenarkan keluar dari hospital dan 270 masih menerima rawatan.
Ia adalah angka terendah sejak 7 Mac, dan tiada jangkitan tempatan baharu di Bangkok sejak penularan wabak itu dikesan pada Januari lepas.
Kematian terbaharu melibatkan seorang wanita berusia 64 tahun, dan ujian mendapati lima lagi ahli keluarganya turut didapati positif COVID-19.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat CCSA hari ini bersetuju untuk melanjutkan perintah darurat hingga 31 Mei.
Thailand sebelum ini mengisytiharkan darurat dari 26 Mac hingga 30 April dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 di negara itu.
Beliau berkata CCSA turut mengesyorkan agar perintah berkurung dari pukul 10 malam hingga 4.00 pagi yang dikenakan di seluruh negara dilanjutkan hingga 31 Mei, di samping melanjutkan sekatan perjalanan bagi semua pelancong dari luar negara dan antara wilayah, menyekat perhimpunan besar-besaran dan memperluas dasar bekerja dari rumah.
Katanya Thailand akan menangguhkan sambutan Hari Pekerja (1 Mei), Hari Pertabalan (4 Mei), Perayaan Visakha atau Hari Wesak (6 Mei) serta upacara "Royal Ploughing Ceremony" (11 Mei).
"Penangguhan akan dibentangkan kepada kabinet, esok. Ia tertakluk kepada kelulusan kabinet," katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di sini pada Isnin.
Thaweesilp berkata perintah darurat telah menunjukkan kesan yang baik dalam mengehadkan jumlah kes harian baharu dan melambatkan penyebaran COVID-19.
Katanya, pertemuan dengan CCSA turut membincangkan kelonggaran ke atas beberapa sekatan perniagaan dan aktiviti awam, namun beliau tidak menyatakan perincian mengenai perubahan, kaedah atau bila ia akan berlaku.
"Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDB) dan beberapa agensi berkaitan akan mengadakan mesyuarat untuk memperincikan perkara itu dan mencadangkan kepada mesyuarat kabinet esok," katanya.
Katanya CCSA akan membuat penilaian terhadap langkah yang diambil setiap 14 hari.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) meneruskan larangan kemasukan penumpang dari luar negara kepada 31 Mei.
Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata bagaimanapun larangan tidak dikenakan ke atas pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa penumpang turun, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan kargo.
Menurut beliau, penumpang yang tiba dengan penerbangan dikecualikan, perlu mengambil langkah di bawah peraturan kawalan penyakit iaitu menjalani kuarantin wajib 14 hari dan mematuhi peraturan di bawah dekri darurat.
-- BERNAMA
#CAAT #Chula Sukmanop #COVID-19 #pandemik #peraturan kawalan penyakit #perintah darurat #Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand #sekatan #Thailand
;