COVID-19: Thailand kesan kluster penjara, 112 positif di Narathiwat
Bernama
April 4, 2021 00:08 MYT
April 4, 2021 00:08 MYT
BANGKOK: Sejumlah 112 individu termasuk banduan dan pegawai penjara di Narathiwat, Thailand telah diuji positif COVID-19.
Pejabat Kesihatan Awam Narathiwat pada Sabtu menjalankan pengesanan kes aktif di Penjara Narathiwat susulan lima banduan dan seorang pegawai penjara yang mengambil bahagian dalam kempen antidadah di Surat Thani diuji positif COVID-19 pada Jumaat.
Mereka jatuh sakit dan mendapatkan rawatan di Hospital Surat Thani pada Jumaat.
Menurut pejabat kesihatan itu, sejumlah 214 banduan serta pegawai penjara yang dianggap berisiko tinggi menjalani ujian COVID-19 dan 88 hingga 112 banduan selain 23 pegawai penjara serta seorang jururawat didapati positif COVID-19.
Timbalan Gabenor Narathiwat Pairote Jarit-ngam berkata terdapat 2,334 banduan dan 97 pegawai penjara di penjara wilayah.
Bagi menghentikan penularan COVID-19 di penjara, Jabatan Koreksional telah menangguhkan sesi melawat banduan di semua penjara mulai esok (Isnin) sehingga 5 Mei.
Ketua Pengarahnya Aryut Sinthoppan berkata tiada banduan yang akan dibawa keluar dari penjara dan tidak akan berlaku pemindahan antara penjara mulai esok.
"Semua banduan baharu akan diasingkan dalam sel terpisah antara 14 hingga 21 hari dan mereka akan disaring dua kali sebelum dibenar meninggalkan sel pengasingan.
"Bagi banduan yang perlu menghadiri prosiding mahkamah, jabatan itu akan mengusahakan langkah-langkah alternatif," menurutnya dalam satu kenyataan.
Aryut berkata ahli keluarga dan saudara mara boleh melawat banduan secara 'maya' dan membelikan barangan untuk mereka menerusi aplikasi LINE.
"Kesemua 143 penjara dalam negara ini perlu mematuhi arahan ini dengan ketat," katanya.
Pengarah Hospital Ratchanakharin di Narathiwat Dr Wichai Wichianwattanachai berkata satu hospital medan telah ditubuhkan bagi pesakit tidak bergejala dan mereka yang mempunyai gejala ringan COVID-19.
Setakat ini, Thailand merekodkan sejumlah 29,127 kes COVID-19 dengan 95 kematian.
-- BERNAMA